Home Tudung Sekolah KENALI JENIS-JENIS TUDUNG SEKOLAH YANG ADA DI MALAYSIA

KENALI JENIS-JENIS TUDUNG SEKOLAH YANG ADA DI MALAYSIA

by Teeha®
0 comment

Setiap individu pastinya mempunyai citarasa mereka yang tersendiri. Ada yang sesuai dan selesa dengan sesejenis tudung dan ada juga yang tidak berapa selesa dengannya. Ia terpulang pada “taste” masing-masing. Begitu juga halnya buat pelajar sekolah. Ada jenis-jenis tudung sekolah yang selesa dan sesuai buat mereka dan ada juga yang tidak berapa memenuhi kehendak mereka.

Tudung sekolah dan minat untuk bertudung

Bagi kebanyakan ibu khususnya, ramai terlepas pandang dengan keselesaan anak-anak sewaktu memilih tudung sekolah buat mereka. Boleh jadi disebabkan oleh hal sedemikian, anak-anak menjadi tidak gemar untuk bertudung apabila bukan ke sekolah. Selaku ibu, anda pastinya ingin mendidik anak-anak anda untuk bertudung dan menjaga aurat dengan sempurna sedari kecil lagi. Namun, dalam tidak sedar, anda mungkin diantara punca yang menyebabkan mereka “degil” dan tidak suka untuk bertudung.

Tudung sekolah dan keyakinan diri

Anda pastinya pernah melalui satu keadaan dimana anda merasakan pakaian anda terutamanya tudung, apabila tidak “on point”, keyakinan diri anda mulai berkurang. Anda rasa tidak selesa dan malu untuk berhadapan dengan orang ramai. Anda yang sudah dewasa pun berfikiran sedemikian rupa, bayangkan pula anak-anak anda. Tudung yang tidak memenuhi citarasa mereka yang anda paksa mereka pakai pastinya akan sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap keyakinan diri mereka. Anda juga harus ingat bahawa usia muda anak-anak anda di alam persekolahan merupakan di antara fasa-fasa terpenting dalam membentuk personaliti dan keyakinan diri mereka.

Kepentingan memilih tudung sekolah yang sesuai

Seperti yang telah dikongsikan diatas, anda pastinya sedar bahawa memilih tudung sekolah yang sesuai sangat penting buat anak-anak anda. Banyak kesannya terhadap emosi anak-anak anda. Selaku ibu, anda harus peka dengan kesan-kesan sebegini kerana ia akan memberikan kesan yang lebih besar terhadap mereka suatu masa nanti. Mentaliti anak-anak anda banyak dipengaruhi oleh hasil tindakan anda sebenarnya.

“Budak-budak lagi. Mana ada fikir sampai macam tu sekali.”

“Awal-awal jer tak suka. Lama-lama ok la tu.”

“Saya rasa ini yang terbaik untuk anak saya. Anak saya kena ikut apa yang saya tetapkan.”

Jangan sesekali anda berfikiran sedemikian rupa.

Anak-anak anda juga mempunyai emosi, sama seperti anda. Anak-anak anda juga mempunyai perasaan seperti anda. Anak-anak anda juga ada keinginan mereka yang tersendiri. Jadi, apa salahnya kalau anda cuba untuk memahami anak-anak anda dengan lebih mendalam lagi kan?

Jenis tudung sekolah apa yang sesuai dengan anak anda?

Sejujurnya, penting untuk anda kenali jenis-jenis tudung sekolah yang ada dan cuba sesuaikan dengan citarasa anak anda. Ingat! Jangan sesekali mengabaikan pendapat dan citarasa mereka dalam pemilihan tudung sekolah buat mereka.

1. Tudung sekolah jenis sarung awning keras

Bagi anak-anak anda yang baru sahaja mencuba untuk bertudung, tudung jenis ini sangat sesuai kerana mereka tidak perlu risau awning akan berkeronyok. Anak-anak yang agak cerewet dan pentingkan kekemasan sangat sesuai dengan tudung jenis ini.

Biasanya jika anda menghantar anak-anak anda ke sekolah dengan menaiki motosikal, helmet akan menyebabkan tudung anak-anak anda mudah untuk berkeronyok. Bagi anak-anak yang agak “perfectionist”, perkara sebegini pastinya akan menyebabkan mereka rasa rimas dan tidak selesa. Jadi, tudung jenis ini akan sedikit sebanyak mampu untuk mengelakkan mereka dari “moody”.

2. Tudung sekolah jenis sarung awning lembut

Tudung jenis awning lembut biasanya akan menjadi pilihan ibu kerana mudah untuk dibasuh menggunakan mesin dan sangat mudah untuk digosok kerana tidak perlu menggosok secara terperinci pada bahagian awning. Si ibu tidak perlu risau awning patah dan sebagainya. Anak-anak juga akan berasa selesa untuk memakai tudung jenis ini kerana ia akan terus “fit” dengan bentuk muka anak anda. Ia sesuai jika anak anda baru bermula untuk memakai tudung.  

3. Tudung sekolah jenis lipat dua

Tudung sekolah jenis ini pula merupakan tudung yang mempunyai dua lapis. Tudung jenis ini tidak sesuai untuk anak-anak yang masih tidak berapa pandai untuk “adjust” tudung sendiri. Ia juga agak sukar bagi si ibu untuk menggosoknya kerana ia agak rumit disebabkan oleh dua lapisnya.

Tudung ini perlukan ketelitian dan juga tahap kesabaran yang agak tinggi. Agak susah bagi anak-anak yang tidak biasa lagi dengan tudung untuk menjadikannya “on point”. Kalau anak-anak anda jenis yang lasak, mudah untuk tudung ini senget dan berkeronyok. Perkara sebegini agak kerap berlaku terutamanya terhadap anak-anak yang masih bersekolah rendah. Risau bila susah untuk mereka betulkan semula, tudung hilang entah kemana.

Fabrik tudung sekolah

1. Lycra

Fabrik jenis ini menjadi pilihan si ibu dan juga si anak kerana ia merupakan jenis kain yang berat dan terletak sekaligus menjadikannya “fit” dengan muka. Ia bukan sahaja cantik malah ia turut memberikan keselesaan dan sangat sesuai dengan anak-anak yang mudah untuk berasa tidak selesa dengan tudung. Antara fabrik yang sangat dicadangkan jika anak anda termasuk dalam kategori tersebut. Selain itu, ia juga memberikan rasa “sejuk” buat anak anda. Kebanyakan anak-anak biasanya akan memberikan alasan panas apabila mereka mula membiasakan diri untuk bertudung. Jadi, tudung jenis lycra berpotensi untuk menjadi solusi kepada masalah ini. Cubalah.

2. Koshibo

Fabrik jenis ini mungkin kedengaran agak asing namun anda sendiri mungkin tidak sedar yang anda pernah atau sedang memakainya. Ia sebenarnya merupakan sejenis kain “woven fabric” dan dihasilkan dari serat polyester. Fabrik jenis ini dihasilkan dengan menggunakan teknik tenunan. Ia termasuk dalam kategori kain ringan hingga sederhana beratnya. Namun, ada satu perkara yang menyebabkan sesetengah individu tidak berapa menggemari fabrik koshibo ini kerana ia mempunyai ciri berkilau. Jadi, anda perlu dapatkan pendapat anak-anak anda terlebih dahulu sebelum anda membelikan mereka tudung sekolah yang menggunakan fabrik koshibo. Risau pula jika mereka tidak berapa menggemarinya.

3. Scuba

Bagi tudung sekolah yang menggunakan fabrik scuba, ia akan memudahkan lagi untuk menjadikan awning tudung tersebut lebih terletak berbanding dengan fabrik lain. Ia juga tidak akan mudah lembik apabila digosok pada suhu yang tinggi yang disebabkan oleh cirinya yang tidak memeri (“strecthable”). Bagi kebanyakan tudung yang menggunakan fabrik lain, masalah utama adalah pada awningnya yang mudah untuk menjadi lembik. Jika tudung tersebut dipakai dengan kerap, kekerapan untuk dibasuh dan digosok juga akan meningkat sekaligus mempercepatkan lagi kadar untuk awning tersebut menjadi lembik. Semakin kerap pula anda perlu membeli tudung sekolah untuk anak-anak anda kalau begini gayanya.

Warna tudung dan fungsi umumnya

Bagi kebanyakan sekolah, warna tudung sekolah melambangkan jawatan yang disandang oleh anak-anak. Selain itu, ia turut melambangkan jenis unit beruniform yang disertai anak-anak pada hari yang diwajibkan mereka untuk memakai pakaian mengikut unit beruniform masing-masing. Berikut merupakan diantara warna tudung sekolah dan fungsinya secara umum.

Tudung sekolah putih nila

Warna putih nila adalah warna utama bagi kesemua pelajar biasa di sekolah. Warna ini biasanya dipadankan dengan kain berwarna biru gelap atau hitam bagi anak-anak yang bersekolah rendah dan biru muda bagi anak-anak yang bersekolah menengah.

Tudung sekolah putih mutiara

Warna ini juga merupakan satu lagi warna putih yang dibenarkan oleh pihak sekolah untuk dipakai bagi kesemua pelajar biasa di sekolah. Ia juga turut dipadankan dengan kain berwarna biru gelap atau hitam bagi anak-anak yang bersekolah rendah dan biru muda bagi anak-anak yang bersekolah menengah.

Tudung sekolah biru muda

Warna biru muda pula kebiasaannya dikhusukan untuk pengawas sekolah sahaja. Ia akan dipadankan dengan baju berwarna biru muda juga dan kain berwarna biru gelap atau hitam. Ia merupakan diantara warna “standard” yang digunapakai oleh hampir kesemua sekolah yang ada di Malaysia untuk anak-anak yang menyandang jawatan selaku pengawas sekolah.

Tudung sekolah hitam

Warna hitam biasanya dibenarkan oleh pihak sekolah untuk dipakai oleh anak-anak sewaktu mereka dijadualkan untuk sesi pendidikan jasmani dan kesihatan serta sewaktu aktiviti kokurikulum diadakan. Ia sebenarnya merupakan diantara tindakan yang bijak kerana jika dibiarkan anak-anak untuk bertudung putih sewaktu kedua-dua sesi ini, kesan kotor akan lebih mudah untuk kelihatan dan akan memberikan kesukaran buat si ibu untuk membasuhnya. Ia juga akan menyukarkan anak-anak untuk melakukan aktiviti kerana mereka juga bimbang sekiranya tudung mereka menjadi kotor.

Tudung sekolah kuning muda

Di sekolah, wujud berbagai jenis jawatan dan diantaranya ada pengawas perpustakaan. Bagi pengawas perpustakaan, warna kuning muda adalah warna “standard”. Namun, ada juga sesetengah sekolah yang menggunakan tudung berwarna coklat untuk jawatan ini.

Tudung hijau gelap

Warna ini adalah warna tudung sekolah yang dikhususkan untuk anak-anak yang menyertai Kadet Remaja Sekolah (KRS). Ia akan dipadankan dengan t-shirt berlengan panjang KRS atau uniform KRS.

Tudung sekolah pink

Warna ini pula adalah warna yang telah dikhususkan untuk anak-anak yang menyertai unit beruniform Puteri Islam. Ia akan dipadankan dengan tshirt berwarna putih Puteri Islam atau uniform Puteri Islam.

Dapatkan tudung sekolah di sini sementara stok masih ada 🙂 

Sekian sahaja perkongsian kali ini berkenaan dengan jenis-jenis tudung sekolah yang ada di Malaysia. Seperti yang telah kami maklumkan didalam perkongsian ini, pendapat dan citarasa anak-anak anda juga harus diberikan perhatian supaya mereka akan menjadi selesa dan suka untuk bertudung. Jika semuanya dipenuhi, anak-anak anda akan menjadi lebih ceria dan bermotivasi untuk hadir ke sekolah serta dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk menimba ilmu. Diharapkan menerusi perkongsian ini, anda berjaya untuk mendapatkan ilmu baru dan informasi yang bermanfaat. Jangan lupa untuk baca perkongsian seterusnya daripada kami nanti!

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.